KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam berkenan melancarkan buku Tiang Seri Negara: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Semenjak 1957 di Kelab Taman Tasik Perdana Diraja di sini.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Tunku Laxamana Negeri Sembilan, Tunku Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar dan kerabat diraja.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Panel Penasihat penerbitan buku itu, Tengku Razaleigh Hamzah serta Tan Sri Dr Arshad Ayub.
Buku itu yang ditulis Pengerusi Eksekutif Arus Intelek Sdn Bhd, Datin Azizah Mokhzani, memaparkan sejarah kewujudan institusi diraja serta peranan dan bidang kuasa yang ada pada Seri Paduka sebagai Ketua Negara.
Sementara itu, Najib dalam ucapannya dibacakan Saifuddin berkata, penerbitan buku itu dapat membuka mata dunia bahawa Malaysia memberi sumbangan unggul dan unik kepada corak dan amalan demokrasi yang mana Yang di-Pertuan Agong dilantik mengikut pemilihan dan kaedah penggiliran dan bukan semata-mata kerana keturunan.
“Justeru, sistem pentadbiran di negara ini adalah begitu demokratik sekali,” katanya.
Najib berkata, buku itu wajar menjadi koleksi setiap agensi kerajaan dan swasta serta badan korporat agar dapat diakses warga kerja.


